Sinopsis

Hikayat selepas 1001 malam adalah kesinambungan kepada Hikayat 1001 malam tetapi dalam stail penulisan gaya orang Melayu. Berbanding dengan kisah H1001M yang kisahnya bersambung-sambung, dalam HS1001M, setiap satu malam ada kisah yang berlainan. Kisah-kisah yang dipaparkan banyak mengandungi falsafah hidup, contoh bidalan dengan gubahan bahasa hikayat, untuk renungan dan fikiran kita bersama.

Thursday, August 25, 2011

Malam Ke-1009 - Kisah Jebat Derhaka


Arakian, maka darah Si Jebat membuak-buak menyimbahi lantai istana raja. Dengan amat payah, Jebat menyentap langsir balai peraduan raja. Langsir putih berbunga merah itu, dililitkan ke pinggangnya sambil menekap kawasan tubuh yang ditikam oleh Hang Tuah itu. Kain itu mula memerah dengan darah.

Jebat bergerak layu ke pintu istana. Rakyat Melaka yang tadinya terpekik-pekik kegilaan apabila mendapat kabar Jebat sudah ditikam Tuah, terkejut dan ternganga-nganga dan mula bertempiaran lari bagi menyelamatkan diri.

Jebat derhaka, rupa-rupanya masih betah lagi bernyawa.

" Hai anak-anak Melaka!" pekik Jebat deras kepayahan. " Jebat belum mati dan akan menuntut galang-ganti. Bersedialah kalian dengan kehadiran malaikat maut ini.....!!!!!" sambung Jebat lagi dan sepantas itu juga dia menerkam dan membunuh sesiapa saja dengan ganas dan amat rakus. Rakyat Melaka tumbang satu-satu dan tubuh mereka kelihatan bergelimpangan di mana-mana.

Syahdan, setelah tiga hari tiga malam mengamuk itu, maka Si Jebat semakin keletihan. Ia akhirnya terdampar di kaki anak tangga teratak rumah Hang Tuah. Kasturi, Lekir dan Lekiu bersegera memaklumkan kehadiran Jebat kepada Tuah yang masih kejap bertafakur. Dengan segera mereka menyambut Jebat dan digerengnya ke serambi rumah. Jebat dibaringkannya di situ.

Tuah segera meriba saudaranya yang amat kepayahan itu dengan rasa amat sayu dan berlinangan airmata. Nafas Jebat tercungap-cungap dan dia kelihatannya semakin nazak.

" Maafkan aku Jebat. Maafkan aku. Aku hanya melaksanakan perintah tuanku. Sesungguhnya, pantang padaku melihat Melayu derhaka pada rajanya," zahir Tuah.

" Tapi..abang tuah... Raja adil raja disembah. Raja zalim raja disanggah," balas Jebat sayu " Aku menderhaka kepada raja, kerana kau... sebagai hambanya yang amat taat, masih ....tetap dianiaya dan dihukum mati. Dan aku....aku menderhaka kerana membela kematianmu tuah...," sambung Jebat.

" Tapi pembelaanmu itu adalah sesuatu yang sia-sia Jebat dan tidak mungkin akan mendapat sokongan orang Melaka. Lagipun, aku akan akur akan segala perintah tuanku dan aku sanggup menggadai persahabatanku denganmu demi taat dan setiaku pada raja."

Kedengaran Jebat mendengus dengan agak panjang. Wajahnya seperti orang kekesalan dan marah yang amak sangat. Dia benar-benar tidak menduga, orang yang dia bela selama ini, ternyata masih hidup, dan tergamak pula untuk menikamnya dengan keris taming sari.

Bagaimanapun, Tuah dengan penuh khusyuk terus memanjat doa dan berzikir. Padanya, selagi Jebat masih bernyawa, dia masih mahu menyelamatkannnya. Dia akan nanti usahakan untuk Raja Melaka memberikan keampunan kepada Jebat.

Keris Taming Sari itu lalu dihentak dan ditikamnya ke lantai rumah beberapa kali , hingga menggegarkan dinding rumah. Semakin lama perlakuannya itu semakin keras dan keras dan keras.

Sekonyang-konyang, ketika Si Jebat kelihatannya dalam peringkat akhir nyawanya, langit mula memerah dan menghitam. Angin kencang menderu secara tiba-tiba. Ia diikuti kilat sabung menyabung dan petir berdentum beberapa kali.

Di serambi rumah Tuah, kelihatan asap membuak-buak dan berkepul-kepul. Sebaik, kepulan asap itu hilang, kelihatan duduk di sebelah Hang Jebat, Sang Adi Putra dari puncak gunung Wilis. Tuah, Kasturi, Lekir dan Lekiu bersegera berlutut menyembah mahaguru mereka itu.

" Ampun paduka ayahanda Mahaguru Seri Adi Putra. Kasihanilah kami lima bersaudara. Mohon bantuan ayahandalah jua, kalau Jebat masih boleh diselamatkan, untuk memulihkan semula kesihatannya," lahir Hang Tuah kepada gurunya.

Seketika, Sang Adi bertafakur. Tiba-tiba di tangannya terpercik satu cahaya dan muncul sebilah keris Pendawa Seri Si Gunung Wilis dan sehelai selendang hijau kuning berbunga-bunga merah. Sang Adi Putra meleraikan kain langsir putih berbunga merah itu perlahan-lahan sambil tangannya segera menekap kawasan luka dan menahan darah membuak-buak di perut Hang Jebat.

Tubuh Si Jebat yang sakit itu lalu dibaluti dengan kain selendang hijau kuning berbunga-bunga merah itu.

Sebaik saja Sang Adi Putra menyisipkan keris Pendawa Seri Si Gunung Willis di pinggang si Jebat, ia lalu berundur beberapa tapak, bibirnya menguntum senyum kepada Tuah dan saudara-maranya tanpa berkata apa-apa. Tiba-tiba Sang Adi Putera ghaib begitu saja.

Arakian, selang beberapa hari, Si Jebat yang hampir nazak dan mati itu, tersedar dari tidurnya yang lena. Dia pulih sepenuhnya dari sakitnya. Tubuhnya semakin segar dan kuat hingga menggembirakan hati Si Tuah, Kasturi, Lekir dan Lekiu.

Anehnya, sebaik dia terpandang Hang Tuah, Jebat segera bangun. Ia mengetatkan pakaian dan dastarnya, menyelitkan Keris Pendawa Lima ke pinggangnya dan terus bergegas meninggalkan rumah Hang Tuah dengan wajah marah mencuka.

" Ke mana Jebat. Kamukan belum pulih sepenuhnya?" tegur Hang Tuah apabila Jebat tidak berkata apa-apa.

" Tuah! " lahir Jebat keras ketika sudah berada di muka pintu. Dia menghunus keris Pendawa Lima.

" Dengan Keris Pendawa Lima di tanganku, Taming Sarimu sudah tidak berbisa lagi. Nah, aku menunggumu di istana raja, untuk perhitungan kita yang kedua kali," tambah Jebat keras dan terus meninggalkan teratak Tuah, tanpa menoleh-noleh lagi.

Begitulah kira-kira kisahnya, untuk malam yang ke-1009, adanya.

No comments:

Post a Comment