Sinopsis

Hikayat selepas 1001 malam adalah kesinambungan kepada Hikayat 1001 malam tetapi dalam stail penulisan gaya orang Melayu. Berbanding dengan kisah H1001M yang kisahnya bersambung-sambung, dalam HS1001M, setiap satu malam ada kisah yang berlainan. Kisah-kisah yang dipaparkan banyak mengandungi falsafah hidup, contoh bidalan dengan gubahan bahasa hikayat, untuk renungan dan fikiran kita bersama.

Friday, August 19, 2011

Malam Ke-1005 - Malunya Kerana Seorang Budak


Al-kisah, maka diperkabarkanlah orang serata Melaka akan kehebatan seorang Panglima Melaka yang berjaya menewaskan Patih Taming Sari dari Jawa dalam pertarungan berdarah di balairong istana raja Majapahit.


Diperkabarkan jua, Panglima Melayu yang bernama Hang Tuah itu, amat disenangi oleh Raja Majapahit hingga dianugerahkan keris pusaka Taming Sari kepadanya.


Maka keharuman namanya pun semakin menjadi-jadi selepas panglima ini dianugerahkan pula darjah kebesaran oleh Raja Melaka dan bermula dari penganugerahan itu, beliau mula dikenali sebagai Laksamana Tun Tuah.


Ke mana saja beliau pergi, rakyat akan mengadakan pelbagai majlis keraian bagi meraikan insan yang menjadi kebanggaan kepada raja, empayar dan rakyat negeri Melaka gamaknya. Apa saja yang dipinta atau diperintah, tiada seorangpun yang berani menidakkannya. Begitulah kira-kira hebat dan kuat, kuasa dan pengaruhnya.


Arakian, maka pada suatu hari, tibalah masa Orang-orang Besar Melayu Melaka menjalankan aktiviti riadah tahunannya. Ketika masa itu, kegiatan lazim bagi Orang-orang Besar Melaka adalah pergi berburuan binatang ke dalam hutan belantara. Kawasan yang menjadi bual mulut bicara orang ketika itu adalah hutan belantara di kaki Gunung Ledang di kawasan hulu negeri Melaka.


Kawasan hutan belantara itu diperkabarkan orang mempunyai banyak binantang buruan yang enak-enak rasa dagingnya.


Bagaimanapun, untuk tiba ke kawasan itu, terdapat beberapa jalan dan denai yang agak jauh dan berpusing-pusing. Hanya satu jalan yang agak pendek, tetapi jalan itu terpaksa melalui ladang buah-buahan dan sayur-sayuran seorang petani tua.


Pada mulanya, petani itu tidak keberatan dengan kehadiran ramai orang-orang besar dan pengikutnya yang melalui ladangnya itu. Namun, petani itu akhirnya menjadi berang kerana, setiap pemburu yang hadir, kerap melakukan banyak kerosakan kepada tanam-tanaman. Malah acapkali berlaku kecurian hingga amat merugikan petani itu.


Petani ini lalu memutuskan, untuk tidak membenarkan barang sesiapapun melalui jalan pintas itu.
Bagi memastikan, keberhasilan tindakannya itu, lalu dibuatkannya pagar berduri dari onak kecubung dan diarahkan anak bongsunya berumur 13 tahun, Hang Kutip untuk menjadi penjaga dan pengawalnya.


Arakian, sikap dan perilaku yang diambil oleh petani tua itu, menghalang jalan pintas orang-orang besar, menimbulkan kemarahanlah kepada banyak kaum bangsawan dan orang-orang besar Melayu. Lalu berita itu diperkabarkan orang kepada Laksamana Tun Tuah yang amat masyhur itu.


Maka menjadi beranglah Laksamana Tun Tuah, kerana dia memang berhasrat benar, untuk pergi memburu sesuai dengan taraf hebat seorang bergelar dan bangsawan yang dimilikinya.


Suatu hari, Hang Tuah bersama ramai pengiringnya, terus bergerak dan menghampiri ladang itu. Dia terasa begitu yakin, yang kehadirannya ke situ, dengan membawa gah nama dan kuasanya akan menggetarkan kepala lutut petani itu dan dia amat yakin jua, dia akan lolos melintasi ladang itu ke hutan belantara, kerana dia bukan orang siapa-siapa.


Sebaik sahaja tiba, dia melihat memang ada kebenaran kata-kata orang betapa jalanan itu sudah terhalang oleh pagar berduri. Dia memerhati keliling untuk mencari kelibat petani tua itu, namun tidak ada. Yang ada hanya seorang anak kecil yang duduk di tengah pagar berduri itu.


" Atas nama aku, kamu arahkan anak kecil itu untuk membuka pintu laluan ini..!!!" perintahnya kepada salah seorang dari pengiringnya.


Lalu bersegeralah pengiring itu menemui anak kecil itu. Seketika pengiring itu kembali.


" Ampun yang mulia Datuk. Pacal kecil yang hina itu, tidak mahu membuka pintu itu," sembah pengiring itu. " Katanya, ini perintah dari bapanya supaya tidak membenarkan walau siapapun untuk melalui jalan itu."


Laksamana Tun Tuah menjadilah tersangatlah marahnya. Mukanya sudah merah membara.


" Kamu pergi dan arahkan budak kecil itu untuk membuka laluan itu. Katakan ini perintah dari Laksamana Tun Tuah," bentak Laksamana Tun Tuah.


Hampir terperiau pengiring yang daif itu dan bersegerahlah dia maju menemui budak kecil berumur 13 tahun itu. Lama dia di situ serta mengugut-ugut kanak-kanak itu. Namun, kelihatan benar budah itu tidak peduli dan duduk kejap di tengah-tengah pintu tanpa bergerak-gerak lagi.


Melihat itu, Laksamana Tun Tuah menjadilah tersangat berangnya. Lalu dengan segera dia menghampiri kanak-kanak kecil itu.


" Hai budak. Amat biadapnya kamu. Tahukah engkau siapa aku...!?" tengking Tun Tuah dan suaranya semacam sedikit mengherdek. Tangannya mula meraba-raba keris dalam keadaan mahu dihunus dan dikelar leher anak kecil itu.


Melihat itu, kesemua pengiring Laksamana Tun Tuah sudah mula berkeriau ketakutan. Mereka semakin takut akan kemungkinan Tun Tuah, panglima kesayangan raja itu, akan menghunuskan kerisnya dan memancung kepala si anak kecil itu.


" Hamba tahu Datuk Panglima. Tuanlah orang yang hebat itu yang bergelar Laksamana Hang Tuah," jawab budak kecil itu selamba.


Melihat itu, Laksamana Tun Tuah sudah menjadi semakin marahlah pula. Darah sudah mula melurut hingga ke kepala. Siapa yang melihat beliau ketika itu, sudah semacam orang kemarukan darah dan kemasukan syaitan, begitulah kira-kira gamaknya.


" Kalau kamu tahu aku siapa....,kenapa kamu tidak mahu membuka pintu itu, apabila aku, Laksamana Tun Tuah yang hebat ini memerintahkan kamu, untuk membukanya....!" bentak Tuah dengan begitu marah sekali.


" Ampun patik yang mulia Laksamana Tun Tuah. Patik benar-benar amat musykil kini. Tuan Hamba seorang bangsawan yang amat hebat sekali. Gah namanya di seantero dunia dan menjadi kebanggan raja dan rakyat negeri Melaka.Tuan hamba juga terkenal sebagai orang yang amat baik, bersopan-santun , alim dan kuat beribadat serta sentiasa taat dan tunduk kepada perintah raja malah hamba juga amat menyanjungi paduka Laksamana yang mulia," lahir budak kecil itu lebih bersahaja lagi.


" Jadi....!!!'?"


" Yang menjadi kemusykilan hamba pacal yang hina ini, bagaimana tuan hamba yang sebaik ini dan begitu taatnya kepada tuannya baginda raja dan tidak mungkin mahu menyanggah raja walaupun dihasut oleh sesiapa, kini memaksa patik pacal yang hina, untuk menderhaka dan tidak mengikut perintah tuannya iaitu ayah hamba sendiri. Bukankah tuan hamba sedar, bahawa anak yang tidak taat kepada bapanya dan kerap menyanggah bapanya itu adalah seorang anak yang menderhaka..." zahir budak kecil yang petah berkata-kata itu.


Mendengar itu, Laksamana Tun Tuah menjadi amat terperangah dan terkunci mulutnya. Dia terdiam dan agak terkaku dan merasa malu yang amat sangat.


Agak seketika dia sebegitu semacam berfikir-fikir. Akhirnya, Laksamana Tun Tuah membatalkan hasratnya untuk memburu dan mengarahkan kesemua pengiringnya bergerak pulang dan sekaligus membatalkan hasratnya untuk berburu pada tahun itu dan tahun-tahun seterusnya.


Diperkabarkanlah orang jua, bahawa anak kecil bernama Hang Kutip itu, tidak lama kemudian diambil oleh Laksamana Tun Tuah menjadi anak angkatnya dan dibawanya ke kota Melaka.


Namun, usia Hang Kutip tidaklah terlalu panjang kerana kabarnya oleh kecerdikannya itu, ia menjadi korban fitnah dan dibunuh seorang pembesar negeri yang cemburu dan durjana.


Itulah sebabnya, namanya tidak termaktub dalam hikayat Melayu, Hikayat Hang Tuah atau sebagainya.


Demikian kira-kira kisahnya, untuk malam yang ke-1005 adanya.



No comments:

Post a Comment