Sinopsis

Hikayat selepas 1001 malam adalah kesinambungan kepada Hikayat 1001 malam tetapi dalam stail penulisan gaya orang Melayu. Berbanding dengan kisah H1001M yang kisahnya bersambung-sambung, dalam HS1001M, setiap satu malam ada kisah yang berlainan. Kisah-kisah yang dipaparkan banyak mengandungi falsafah hidup, contoh bidalan dengan gubahan bahasa hikayat, untuk renungan dan fikiran kita bersama.

Tuesday, September 6, 2011

Malam Ke-1010 - Kisah Pelancong Atas Angin


Arakian, maka amat terkenallah bumi Melaka di mata warga negeri atas angin kerana pengisytiharannya sebagai Kotaraya Warisan Dunia.

Maka semenjak dari tarikh itu, sesiapa saja warga asing yang melawat Malaysia, akan pastinya meletakkan Kota Melaka dalam kalender lawatannya kerana dikabarkan ramai orang, Melawat Melaka bererti Melawat Malaysia gamaknya.

Maka semakin menjadi majulah negeri Melaka dan dikabarkan orang negeri Melaka, kononnya melimpah ruahlah kerja-kerja kosong dan tidak langsung ada pengangguran, kecualilah mereka itu sudah dari azali lagi, bangsa malas dan suka memilih-milih kerjalah sifatnya.

Sejak adanya taraf Melaka sebagai negeri Kota Warisan Dunia, maka segala apa yang berunsur-unsur warisan lama diperbaikpulih dan diindahkan, tetapi dengan dikekalkan sifat azali tradisinya.

Demikianlah juga dengan kereta lembu dan beca Melaka. Kedua-dua unsur tradisi pengangkutan lama ini, dipercantikkan dan diperindahkan siap dengan bunga-bunga dan bendera serta dicat serba baru. Malah ada yang hingga terlajak cara dengan memasang radio kaset dengan speaker besar hingga memekakkan telinga dan hampir menghilangkan ciri-ciri warisan dan sifat asalnya, kereta lembu dan beca Melaka.

Begitulah hebatnya negeri dan orang-orang Melaka.

Al-kisah, maka dari ramainya pelancong yang datang ada seorang pelancong dari bumi Amerika yang kelihatannya merasa tidak senang dengan pembangunan dan kehebatan orang Melaka khasnya dan orang Malaysia amnya.

Malah beca Pak Malau yang disewanya, yang bergerak secara perlahan itu, kerap dikomen terus dalam loghat Inggerisnya. Katanya, kalau dia berada di London kota sahabat sebangsanya, mereka akan melancong menaiki kereta kuda yang pergerakannya lebih laju dari kuda beca Pak Malau yang dikayuh dengan kudrat dan tenaga.

Pak Malau yang sedikit fasih berbahasa Inggeris itu, hanya mendongkol dan tidak mampu berkata apa-apa kerana menghormati pelanggannya.

" Itu apa Pak Malau?" tanya orang putih itu dalam loghat Inggerisnya.
" Oh itu, Menara Taming Sari. Pelancong boleh naik hingga atas sambil berputar-putar," kata Pak Malau gembira kerana bebelan orang putih itu sudah beralih kepada topik lain.

Tiba-tiba saja, orang putih itu tertawa terbahak-bahak. Katanya, kalau di negaranya, orang sudah tidak gunakan mesin putar-putar begini. Mereka sudah maju dan gunakan roller coster. Lebih jauh lagi, orang Amerika sudah naik ke bulan dan ada misi lain ke bintang marikh.

Jawapan Orang Putih itu membuatkan Pak Malau berdongkol lagi. Dia bagaimanapun tetap meneruskan tanggungjawabnya untuk membawa pelanggannya ke sekitar kota Melaka.

" Ini bangunan apa Pak Malau?" tanya Orang Putih itu lagi sambil tanganya menuding kepada sebuah bangunan.

" Itu replika Istana Melaka. Dulu, bangunan seperti ini digunakan oleh Raja-raja Melaka," jawab Pak Malau seperti biasa.

Orang Putih itu, kelihatan tertawa lucu lagi.

" Kalau beginilah sifat istana Melaka, tidak hairanlah kalau Melaka mudah ditakluki Portugis," zahirnya. " Kalau di Britain, kawasan istananya ditembok tinggi hingga susah musuh mahu memasukinya," zahirnya bangga.

Pak Malau mendongkol lagi. Geram hatinya hingga tidak mampu dia berkata apa-apa kepada orang yang mencemuh negara dan bangsanya.

" Nasib baiklah kau pelancong. Kalau tidak dah lama kau aku sembelih," bisik hati Pak Malau.

Bagaimanapun Pak Malau tetap meneruskan tanggungjawabnya. Dan di sepanjang perjalanan itu Pak Malau menjadi agak bosan dengan cecehan Orang Putih itu kerana konon katanya, kalau di negaranya, bangunan-bangunan baru akan dibina dengan kualiti yang baik, indah rekacipta senibinanya dan masa yang diambil begitu cepat untuk siap.

Tiba-tiba Orang Putih itu meminta Pak Malau berhenti seketika kerana dia terlihat sesuatu.

" Itu kompleks perniagaankah Pak Malau?" tanyanya.

" Mana?"

" Itu.." katanya sambil jejarinya menuding ke arah papan tanda. " Haa.. itu papan tanda kata Pulau Melaka," tambahnya lagi.

Pak Malau kelihatan mengrut-ngerutkan kepalanya.

" Kenapa Pak Malau?"

" Heran ya...kelmarin tempat itu hanya ada laut. Tapi macam mana pula hari ini ada pulau dan banyak bangunan. Heran..heran.."

" Heran...?"

" Saya tuan. Kelmarin semuanya tak ada. Tapi hari ini semuanya ada. Heran betul. Macam mana orang Melaka, boleh jadi hebat macam ini, boleh siapkan semuanya..apa tu ..ya Kompleks Pulau Melaka dalam satu hari sedangkan orang putih macam tuan boleh siapkan sepantas satu tahun.." zahir Pak Malau, seperti orang kehairanan dan terpinga-pinga.

Tiba-tiba Orang putih itu terdiam melihat gelagat Pak Malau. Dia tiba-tiba menjadi malu sendiri.

Begitulah kira-kira kisahnya untuk malam yang ke-1010 adanya.

No comments:

Post a Comment