Alkisah, maka berkumpullah ramai-ramai rakyat jelata di balairong seri bagi meraikan sambutan Maal Hijrah.
Maharaja Singa begitu amatlah gembiranya. Matanya memerhati kesekeliling. Setiap menteri, lubalang, bentara, binatang besar-besar jajahan dan penghulu hutan-hutan, didapati hadir kesemuanya, kecuali seekor iaitu Demang Meow dari jajahan meow-meow.
Lalu Maharaja Singa berpaling ke arah Bendahara Harimau.
" Apa perkabaran Demang Meow? Kelibatnya tidak kelihatan hari ini. Selalunya, Demang itu yang paling awal hadir kalau ada majlis sebegini."
" Patik kurang periksa tuanku. Tiada sebarang perkabaran dari mana-mana wakilnya. Nantilah, patik minta Bentara Musang, pergi menjengok," jawab Bendahara Harimau. Ia lalu mengarahkan Bentara Musang untuk menjenguk dan bertanya kabar akan perihal Demang Meow.
Bersegeralah Bentara Musang bergerak. Tidak lama kemudian, ia kembali.
" Ampun tuanku. Paduka Demang Meow, berkirim sembah kerana tidak dapat hadir hari ini. Binilah baru saja beranak, pagi tadi," sembah Bentara Musang.
Begitu gembira Maharaja Singa mendengar perkabaran Demang Meow memperolehi anak pada hari baik Maal Hijrah.
" Pukul berapa kelahiran anak-anak meow itu? Bagaimana keadaan bini dan anak-anaknya? " tanya baginda.
" Patik kurang periksa tuanku. Tidak pula patik bertanya," jawab Bentara Musang.
Menggeleng-geleng kepala Maharaja Singa. Lalu diperintahkan Bentara Seladang pula untuk mendapatkan butiran lanjut mengenai perihal Meow dan anak bininya. Bentara Seladang bergerak dengan pantas sekali. Tidak lama kemudian dia kembali.
" Anak-anak Demang Meow lahir jam 8 pagi tadi tuanku. Bininya dan anak-anaknya sihat-sihat saja kata Demang Meow," sembah Bentara Seladang.
" Bagus-bagus. Anak-anaknya berapa ekor semuanya?"
" Oh itu patik kurang periksa tuanku."
Maharaja Singa menggaru-garukan kepalanya. Lalu diperintahkannya Bentara Helang untuk mendapatkan jawapannya. Maka bersegeralah Bentara Helang memecut terbang dan tidak lama kemudian dia kembali dengan perasaan amat gembira.
" Ampun tuanku. Anak-anak Demang Meow cantik-cantik belaka. Jumlahnya lima ekor tuanku."
" Berapa jantan berapa betina..?" tanya Maharaja Singa.
" Oh yang itu, patik juga kurang periksa, tuanku."
Demikianlah berulang-ulang kali dan satu persatu, setiap bentara diarahkan untuk mendapatkan perkabaran tentang perihal Demang Meow dan anak bininya. Setiap ekor yang diperintah pergi hanya kembali dengan jawapan bagi satu soalan yang ditanya.
Maharaja Singa benar-benar kecewa dengan segala kelompok bijak pandai dan binatang-binatang besar jajahan yang ada di balairong seri istananya. Baginda benar-benar tidak puas hati dengan segala jawapan mereka. Wajah beginda kecewa dan mencuka.
Alkisah, dalam ramai-ramai rakyat jelata yang hadir itu, terdapat seekor anak kancil yang lincah dan candi sifatnya. Sejak dari awal tadi, baginda memerhati anak kancil itu, seperti mahu berkata sesuatu, tetapi kerana kecil sifatnya, ia sesekali tenggelam dan terlindung dari tubuh-tubuh binatang yang banyak itu.
" Mungkin, anak kancil ini boleh memberikan jawapan yang akan memuaskan keingintahuanku," fikir Maharaja Singa.
Lalu diperintahkan anak kancil itu mengadap.
" Siapa kamu?" tanya baginda.
" Ampun patik tuanku. Patik anak Pak Kancil dari desa seberang, yang baru saja tuanku jatuhkan hukuman bunuh kerana memperdayakan Demang Buaya tuanku."
" Anak Pak Kancil.?" zahir baginda perlahan. Dia terkenang akan Pak Kancil yang disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukum bunuh kerana memperdaya Demang Buaya dan suku-sakatnya dalam peristiwa " Satu Dua Tiga Lekok" kerana mahu menyeberangi sungai.
" Baiklah kalau begitu. Beta akan ampunkan bapa kamu, sekiranya kamu boleh berikan jawapan yang amat memuaskan beta perihal Demang Meow," zahir Maharaja Singa.
Maka dengan tidak berlengah lagi, maka bergegaslah anak kancil menemui Demang Meow. Lama juga anak kancil di tempat Meow hingga penat Maharaja, menteri dan rakyat jelata menunggu. Beberapa jam kemudian, anak kancil muncul dengan wajah yang berseri-seri.
Lalu, diperihalkan alasan Demang Meow tiada hadir hari itu, dari mula bininya jatuh sakit dan melahirkan lima ekor anak, siap dengan warna-warna setiap ekor anak yang jantan dan betinanya, dengan nama setiap ekor darinya, berat tubuhnya, kelakuan dan perangai setiap ekor darinya. Turut diperkabarkan, betapa Demang Meow akan berdatang sembah pada lewat hari untuk memaklumkan keadaan dirinya pada baginda.
Mendengar perkabaran itu, baginda menjadi gembira dan begitu puas. Lalu diperintahkan agar dibebaskan Pak Kancil dan anak kecil Kancil dilantik menjadi Perunding Raja bertaraf menteri.
" Demikianlah contoh terbaik, wahai seluruh rakyat beta. Apabila kamu membuat sesuatu, buatlah sehabis baik agar tidak tugasan itu dibuat berulang-ulang kali dan membuang masa," lahir baginda.
Demikianlah kira-kira kisahnya, untuk malam yang ke-1004, adanya.
No comments:
Post a Comment