Sinopsis

Hikayat selepas 1001 malam adalah kesinambungan kepada Hikayat 1001 malam tetapi dalam stail penulisan gaya orang Melayu. Berbanding dengan kisah H1001M yang kisahnya bersambung-sambung, dalam HS1001M, setiap satu malam ada kisah yang berlainan. Kisah-kisah yang dipaparkan banyak mengandungi falsafah hidup, contoh bidalan dengan gubahan bahasa hikayat, untuk renungan dan fikiran kita bersama.

Friday, August 19, 2011

Malam Ke-1007 - Kisah Naga Berkepala Tujuh


Al-kisah, maka berbondong-bodonglah rakyat jelata dari pelbagai pelosok negeri hadhir ke balairongseri, untuk melihat ketampanan rupa tujuh orang putera raja dari pelbagai pelosok dunia.


Setiap seorang, anehnya memegang kepala seekor naga.


Ternyata semakin pening kepala rakyat untuk memikirkan siapakah salah seorang dari mereka yang bakal dipilih oleh Raja menjadi menantunya.


Terdahulu dari itu, kesemua rakyat jelata telah dimaklumkan, betapa barang sesiapapun yang dapat membunuh seekor naga berkepala tujuh yang sentiasa mendatangkan kemudharatan kepada seluruh rakyat jelata di jajahan Selatan, akan baginda kahwinkan dengan anakanda baginda Puteri Dewi Kencana.


Sebaik saja, baginda raja muncul dan bersemayam di singgahsana, maka dimaklumkanlah oleh Bentara, akan kehadiran tujuh orang putera raja yang gagah perkasa dari serata dunia yang ingin memaklumkan kejayaan mereka membunuh naga kepala tujuh.


" Tujuh orang? Macam mana boleh jadi macam itu," zahir baginda. "Susahlah kalau mahu dipilih seorang daripadanya menjadi menantu," zahir baginda lagi.


Baginda lalu memerintahkan setiap puteri raja itu, masuk ke balairongseri secara bergilir-gilir dan setiap seorang dari mereka akan dibenarkan untuk menceritakan bagaimanakah cara yang dilakukannya untuk membunuh naga kepala tujuh itu.


Arakian, maka ketujuh-tujuh anak raja itu, satu persatu menceritakan kehebatan mereka dalam menewaskan naga kepala tujuh itu. Ada yang mengatakan, betapa pertarungan itu berlangsung selama berminggu-minggu. Ada pula yang mengatakan, pertarungan itu hanya sekejap cuma, kerana putera itu menggunakan jampi penunduk yang dipunyainya.


Setelah selesai, maka baginda raja meminta menangguhkan keputusan memilih calon menantu untuk tempoh seminggu. Selama seminggu itulah berputar kepala segala penjawat istana dari Datuk Bendahara hingga para juak untuk memikirkan bersama masalah baginda itu.


Akhirnya, pada hari yang ditentukan, baginda memanggil kesemua tujuh putera raja itu untuk mengadap baginda. Baginda berhasrat mengadakan satu pertandingan dan pemenang pertandingan itu akan layak menjadi menantu baginda.


Al-kisah, sebaik saja Raja, Pembesar, Putera raja bertujuh dan hamba rakyat berkumpul di Balairongseri, maka seorang penggawa berdatang sembah untuk memaklumkan kepada baginda akan kehadiran seorang lagi anak muda, orang biasa dari Jajahan Selatan yang mengaku membunuh Naga berkepala tujuh itu.


" Lapan? Dari tujuh dah jadi lapan...?" bisik Raja itu kepada Bendahara dan memerintahkan pemuda itu dibawa mengadap baginda.


" Hai anak muda. Berkata benarlah kamu dan jika tidak beta tidak teragak-agak akan memenggal kepala kamu," ujar baginda sebaik saja pemuda itu berdatang sembah.


" Ampun tuanku. Tiadalah terniat patik mencari kesempatan dan tidaklah patik tahu bahawa sesiapa yang membunuh naga berkepala tujuh itu ada habuannya. Apa yang patik lakukan untuk membunuh naga itu, tiada apa-apa maksud, sekadar tanggungjawab patik kerana naga itu seringkali membuat onar dan angkara di tempat patik."


" Maksud kamu, kamulah orangnya yang membunuh naga itu..dan bukan putera-putera raja ini?" bentak Raja dengan nada yang sedikit tinggi.


" Amat benarlah tuanku. Pada mulanya patik hanya berdiam diri saja, tetapi apabila ada perkabaran yang tuanku menghadapi masalah, kerana terlalu ramai orang mengaku membunuh naga berkepala tujuh ini, maka patik muncul untuk menjelaskan kedudukan kisah yang sebenarnya," jawab pemuda itu.


" Kamu tahukan akan akibat dari kata-kata kamu ini. Kalau begitu cuba kamu tunjukan buktinya yang kamulah orang yang membunuh naga-naga itu."


" Ampun tuanku, jika mendapat keizinan, patik memohon tuanku mengarahkan kesemua putera raja ini untuk mengeluarkan lidah dari kepala naga-naga itu."


Baginda Raja bersetuju dengan permintaan pemuda itu dan mengarahkan agar setiap putera raja itu memotong lidah naga itu. Setiap seorang dengan segera membuka mulut naga dan sepantas itu juga mereka terkejut, kerana kesemua kepala naga itu sudah tidah mempunyai lidah lagi.


Keadaan ini menimbulkan suasana hiruk-pikuk dalam Balairongseri itu.


Setelah mengetahui, kesemua kepala naga itu tidak mempunyai lidah, maka pemuda itu segera membuka sebuah bungkusan yang digalasnya. Sebaik bungkusan kain itu dibuka terdapat tujuh buah lidah naga milik ketujuh-tujuh kepala naga itu.


" Inilah buktinya tuanku yang patiklah orang yang sebenar-benarnya membunuh naga itu. Tentu saja tidak mungkin, patik boleh memotong lidah naga ini kalau naga ini belum mati. Jelas sekali tuanku, orang yang berbohong di situ bukan patik tapi ketujuh-tujuh putera raja ini."


Melihat keadaan itu, baginda raja menjadi terlalu berang.


" Beginilah sifat manusia yang suka mengambil kesempatan dari kelemahan orang lain. Mereka umpama perumpamaan," Lembu yang punya susu, sapi yang kerap dijaja nama. Orang lain yang bersusah-payah, awak yang senang-senang mendapatkan kebanyakan laba," zahir baginda dengan perasaan yang amat marah sekali.


Baginda lalu memerintahkan ketujuh-tujuh putera raja yang malu yang teramat sangat itu, diusir dari negeri itu dan tidak dibenarkan menjejakkan kakinya ke bumi itu sampai bila-bila.


Tentang pemuda dari desa terpencil itu, lalu dikahwinkan dengan anakanda baginda sebagaimana yang baginda janjikan dan kemudian dilantik menjadi Putera Mahkota.


Demikianlah kira-kira kisahnya, untuk malam yang ke-1007 adanya.

No comments:

Post a Comment