Sinopsis

Hikayat selepas 1001 malam adalah kesinambungan kepada Hikayat 1001 malam tetapi dalam stail penulisan gaya orang Melayu. Berbanding dengan kisah H1001M yang kisahnya bersambung-sambung, dalam HS1001M, setiap satu malam ada kisah yang berlainan. Kisah-kisah yang dipaparkan banyak mengandungi falsafah hidup, contoh bidalan dengan gubahan bahasa hikayat, untuk renungan dan fikiran kita bersama.

Saturday, August 20, 2011

Malam Ke-1008 - Kisah Kasut Orang India


Arakian, maka terlalulah hebatnya usahawan Malaysia itu dalam niaga kasut mengasut. Di mana-mana saja permintaan untuk kasut buatan syarikat usahawan Malaysia itu mendapat sambutan kerana buatannya sama hebatnya dengan pembuat kasut negeri Jepun dan Eropah.

Suatu hari terfikirlah akan usahawan itu untuk mengembangkan bidang perniagaannya ke seantero dunia. Usahawan itu yakin, buatan kasutnya yang sehebat itu, pastinya mampu meraih pulangan lumayan kalau didagangkannya ke luar negeri kononnya.

" Pada fikiran kalian, di negeri manakah sewajarnya kita mengembangkan perniagaan kasut kita ini," tanyanya suatu hari kepada para pegawainya dalam satu majlis makan malam bagi meraikan kejayaan dan kemajuan syarikatnya.

Maka, terzahirlah pelbagai-bagai pandangan dan pendapat tentang pelbagai negeri pilihan. Ada yang mengatakan negeri China kerana ramainya penduduknya. Bagaimanapun pandangan ini disanggah orang kerana negeri China sendiri ada banyak kilang membuat kasut dan harganya jauh lebih murah dari kasut yang dihasilkan oleh mereka.

Akhirnya mereka menjurus kepada negeri India kerana negeri India, tidak banyak kilang membuat kasut kononnya. Apatah lagi penduduknya jaga ramai dan kurang sedikit dari negeri China.

Arakian, lalu usahawan itu, menghantar ramai para pegawainya melancong ke negeri India. Dalam masa yang sama, mereka ditugaskan untuk mengkaji dan mengenalpasti akan potensi mengembangkan perniagaan kasut di negeri itu.

Kesemua pagawai itu, dipecah-pecahkan untuk mengkaji sifat pemakaian kasut orang India di sebelah utara, selatan, timur dan barat.

Akhirnya, setelah lama memerhati, para pegawai itu lantas mengambil keputusan, bahawa negeri India itu bukan negeri berpotensi untuk mengembangkan niaga membuat kasut ini.

" Kenapa dan apa alasannya?" tanya usahawan itu.

" Alasannya mudah tuan. Kebanyakan orang-orang India itu miskin-miskin dan mereka tidak memakai kasut. Kebanyakan mereka berkaki ayam. Justeru, pada hemat kami, mereka tidak punya kemampuan untuk membeli kasut-kasut keluaran kita," begitu kesimpulan mereka.

Akhirnya usahawan Malaysia itu, membatalkan hasratnya untuk mengembangkan pasaran niaga kasutnya ke India dan mencari negara yang lain pula.

Perihal, usahawan niaga kasut Malaysia membatalkan hasrat untuk mengembangkan niaga kasutnya ke India itu menarik perhatian usahawan negara Jepun gamaknya. Dia membaca laporan akan alasan sebenar usahawan Malaysia itu iaitu negara India tidak mempunyai potensi pasaran niaga kasut, kerana rakyatnya rata-rata miskin dan tidak mampu memakai kasut yang mahal-nahal.

Lantas, usahawan itu, menghantar seorang pegawainya yang amat dipercayainya ke India untuk melihat dan mengkaji akan kebenaran rumusan pandangan para pegawai kasut Malaysia itu

Tidak lama kemudian pegawai itu kembali ke Jepun.

" Saya rasa, India adalah sebuah negara yang amat berpotensi untuk kita melabur dalam bidang pembuatan kasut , tuan," zahir pegawai itu kepada bosnya.

" Alasannya?"

" Alasannya mudah iaitu ramai orang India tidak pakai kasut."

" Alasannya sama dengan kata orang Malaysia. Kalau orang India ramai yang tak pakai kasut, bagaimana mungkin kita mahu berniaga dengan mereka," balas usahawan Jepun itu.

" Maksud saya, oleh kerana ramai yang tak pakai kasut, maka kita latih mereka untuk memakai kasut tuan.." balas pegawai itu.

" Latih..?" Usahawan itu, masih tidak faham akan maksud sebenar pegawainya. " Kalau kita latihpun mereka pakai kasut, tapi mereka tidak juga mampu membeli kasut itu kerana hidup mereka miskin. Kasut kita harganya kan mahal."

" Di sana maksud sebenar saya tuan. Kalau kasut kita mahal, maka kita buatkan kasut yang murah dan mampu mereka pakai.."

"Misalnya?"

" Kita buat kasutnya seperti sejenis selipar. Harganya pasti murah dan kita namakannya Selipar Jepun, sesuai dengan kemampuan orang di sana," zahir pegawai itu.

Untuk seketika, usahawan itu termakan juga pandangan pegawainya itu. Akhirnya, usahawan Jepun itu, bersetuju untuk melabur dan membuka kilang di India untuk menghasilkan Selipar Jepun, hasil pandangan pegawainya.

Pegawainya itu dilantik menjadi pengurus utamanya di benua kecil India itu.

Menurut perkiraan usahawan Jepun itu, idea ini, bukan saya sesuatu idea yang baik, malah kos modalnya tidak begitu membebankan. Apatah lagi, dengan 400 juta penduduk India, dan kalau hanya 100 juta orang miskin, memakai seliparnya dengan keuntungan anggaran 50 sen sebuah misalnya, bererti, labanya sudah mahu 50 juta. Dan sekirannya, mereka membeli selipar itu, anggaran 8 buah seorang setiap tahun, bererti anggaran keuntungan mahu juga 400 juta setahun.

Ternyata, hasilnya, usahawan Jepun itu begitu berjaya dalam perniagaannya di India dan terciptalah produk kasut baru, Selipar Jepun, yang berharga murah dan mampu dibeli oleh orang-orang miskin gamaknya.

Apatah lagi Selipar Jepun itu, kemudiannya dieksport ke seluruh dunia termasuklah ke Malaysia, gamaknya.

Begitulah kira-kiranya kisahnya untuk malam ke-1008, adanya.

No comments:

Post a Comment