Sinopsis

Hikayat selepas 1001 malam adalah kesinambungan kepada Hikayat 1001 malam tetapi dalam stail penulisan gaya orang Melayu. Berbanding dengan kisah H1001M yang kisahnya bersambung-sambung, dalam HS1001M, setiap satu malam ada kisah yang berlainan. Kisah-kisah yang dipaparkan banyak mengandungi falsafah hidup, contoh bidalan dengan gubahan bahasa hikayat, untuk renungan dan fikiran kita bersama.

Friday, August 19, 2011

Malam Ke-1002 - Kisah Bayan Kesayangan


Arakian, maka Tuan Al-Maulana, saban malam berceramah mengenai hukum-hakam dan tuntutan agama Islam di masjid-masjid dan surau-surau. Dalam satu ceramahnya, maka Tuan Al Maulana berpesan, bersedekahlah untuk mendapat keredaan Ilahi.


Lalu bertanyalah seorang Lebai Malang, apakah barangan yang sebaiknya kita memberi sedekah. Maka, berjawablah Tuan Al Maulana, sedekahlah, dan sebaik-baiknya barang paling kita kasihi dan paling kita sukai.


Maka berlumba-lumbalah orang ramai memberi sedekah kepada Tuan al Maulana, mengambil berkat akan kealimannya. Sungguh semalam itu, Tuan Al Maulana tersenyum-senyum dengan amat lebarnya.


Perihal pesan dalam ceramah itu turut didengari oleh isteri muda Tuan Al Maulana.


Al-kisah, maka suatu hari berdatanglah seorang musafir, dengan pakaiannya cumpang-camping ke rumah isteri muda Tuan al Maulana, sedangkan tuan Al Maulana tiadalah di rumah.


Lalu katanya, "Hamba seorang musafir dan amat miskin dan amat memohon sedekah".


Maka terpinga-pinga isteri muda Tuan Al Maulana memikir apa yang mahu disedekahkan, kerana menurut ceramah hebat suaminya, bersedekahlah, barang yang paling kita suka.


Arakian, maka terpandanglah akan siisteri muda tuan al Maulana , seekor burung bayan yang pandai berkata-kata, dalam sangkar di penjuru rumahnya. Lalu terbetiklah dalam hatinya, pasti suamiku akan menambah-nambah sayangnya padaku, jika burung kesayangannya itu aku sedekahkan pada musafir itu.


Lalu, diambillah siisteri ini akan burung bayan tadi, lalu diberikan kepada musafir itu.


Katanya, "Ambillah akan dikau burung bayan kesayangan tuan al Maulana ini. Sesungguhya ia seekor burung yang pandai berkata-kata. Juallah dan kamu pasti akan mendapat keuntungan berlipat ganda dan terlepas dari kesusahan dan kemusafiran."


Begitu gembira hati si musafir itu.


Esoknya, berdatanglah Tuan Al Maulana ke rumah isteri mudanya. Seperti biasa, dia menghampiri si bayan kesayangan, tetapi alangkah terkejutnya Tuan al Maulana apabila mendapati si bayannya sudah tidak ada.


Lalu dikisahkanlah dengan gembiranya oleh sang isteri akan perihal dia menyedekahkan barangan yang paling disayanginya kepada seorang musafir yang kelihatannya terlalu miskin.


Mendengar perkabaran itu, tuan al-Maulana yang selama ini tenang dan sentiasa tersenyum menjadi marah yang teramat sangat.


" Bodohnya engkau..bersedekah itu kerja orang lain, bukannya kita," bentaknya dengan amat geramnya, lalu menghentak-hentakkan kepala isteri muda ke dinding rumahnya hingga isteri mudanya terkapar di lantai lalu mati.


Demikianlah kira-kira kisahnya untuk malam yang ke 1002.


No comments:

Post a Comment