Al-kisah maka tersebutlah kisah seorang bijak pandai dalam ilmu cari gali bernama Al- Hassan. Lamanya ia bersekolah hingga tersangkutlah sijil, diploma, ijazahnya yang pelbagai-bagai.
Hidupnya, siang malam hanya dengan al-kitab yang ada kaitannya dengan muka bumi. Masuk pagi hari, dia sudah tercongok lama-lama dalam balai ilmu, seolah-olah mahu saja dibahamkannya segala ilmu ke pundaknya itu.
Demikianlah taksubnya manusia yang amat berilmu itu.
Arakian dalam kajiannya yang bertahun-tahun dan dengan penelitian yang begitu kejap dan mendalam, maka ditakdirkan tuhan ia menemui satu rahsia alam. Lantas segera dia mencari peta dalam balai ilmu itu untuk menjejaki dan mengenali muka bumi akan adanya rahsia alam yang tersembunyi.
" Aku akan jadi kaya. Aku akan jadi orang yang paling kaya dalam bumi Melayu ini..Aku yakin, di tempat itu ada hasil emas hitam yang amat tulen sekali serta dengan jumlahnya yang amat banayk...' zahirnya kuat dan kekuatan suaranya itu, turut didengari oleh ramai orang yang ada di sekitarnya itu.
Anehnya, tiada sesiapapun yang ambil peduli, kerana selama ini, orang ramai sudah mengandaikannya sebagai seorang bakal profesor gila.
" Aku kaya, aku kaya....aku akan jadi kaya....'" tawanya dengan amat kuat sekali dan sekali lagi orang lainpun tidak ambil peduli.
Tidak lama kemudian, kelihatanlah Ilmuan Al-Hassan sudah tercongok dalam bilik Wakil Bendahari Negeri sebuah wilayah di alam Melayu. Lalu dipaparkan segala hasil penemuan dan hasil kajiannya yang lama masanya. Malangnya, paparan dan hujahnya siap dengan fakta dan data tidak juga diendahkan dan diambil enteng oleh wakil bendahari itu.
Bagaiamananpun,dia akhirnya berjanji, untuk membawa perkara ini untuk perhatian orang besar-besar negeri.
" Selama ini, kita semua tahu bahawa, bumi kita ini satu bumi yang kering-kontang dan tiada sebarang penghasilan. Kita juga punya ramai bijak pandai, tapi selama ini tidak ada seorangpun mengatakan bumi kita ini mempunyai aset harta yang paling besar, luas dan lumayan," ujar seorang pembesar negeri.
" Jadi, apa keputusan kita," tanya ketuanya pula.
" Apa kata, kita berikan juga bakal profesor itu hak untuk mencari gali di kawasan yang diminta. Kalau ada baguslah. Kalau tidak, ada juga bahan untuk kita ketawa ..." zahirnya disulami dengan ketawa yang berdekah-dekah.
Jemaah lain turut ketawa bersama-sama.
Arakian, maka Ilmuan al-Hassan itu, setelah mendapat kelulusan dari orang berkuasa negeri, mulalah mencari dana untuk memulakan projek carigalinya. Begitulah susahnya dia menjaja pandangannya ke situ sana. Malangnya, segala usahanya itu tidak berhasil.
Akhirnya bagi mengatasi masalah, maka dijualkannya segala harta yang ada termasuk harta peninggalan ayah bondanya. Tekadnya hanya satu, ia mahu jadi orang yang paling kaya di alam Melayu itu.
Sejak itu, bermulalah proses penggalian mencari emas hitamnya itu. Dari satu tempat ke satu tempat, dari satu sudut ke satu sudut, dari tanah rendah ke tanah tinggi, dari pinggir pantai hingga jauh ke dalam hutan, ia masih terus mencari dan menggali.
Akhirnya, sudah semakin lelahlah Ilmuan Al-Hassan itu. Segala dana dan hartanya semakin habis dan para pekerjanya sudah mula memberontak kerana sudah lama tidak dibayar upah dan gaji.
Akhirnya, dengan segala kepayahan, Ilmuan Al-Hassan lalu menghentikan segala usahanya yang sia-sia itu dan menghabiskan segala saki-baki harta yang ada untuk melunaskan segala hutang-hutang yang tertunggak.
Kabar terakhir, Ilmuan Al-Hassan, sudah menjadi manusia yang terlalu miskin, muflis dan sudah menjadi orang kurang waras dan mencecer sendiri dan bermusafir di mana-mana.
Sepuluh tahun kemudian, seorang anak muda yang mengambil ilmu yang sama dengan ilmuan Al-Hassan, menjadikan bahan kajian Al-Hassan sebagai bahan kajian lanjutannya. Sebagaimana Hassan, dia melakukan kajian yang mendalam mengenai rahsia alam emas hitam itu. Dia akhirnya, mempunyai keyakinan, betapa di kawasan yang diteroka oleh Hassan itu memang mempunyai kandungan emas hitam yang banyak dan lumayan.
Sebagaimana Hassan, anak muda itu memohon izin untuk meneruskan usaha penggalian itu. Pembesar negeri, yang tidak putus-putus ketawa, apabila mengenangi kebodohan Al-Hassan dan juga anak muda itu, tanpa ragu-ragu memberikan keizinannya. Justeru, tidak lama kemudian, anak muda yang mengambilalih mesin dan barangan tinggalan Al-Hassan melakukan penggaliannya secara bersendirian kerana tiada siapapun yang mahu membantunya.
Anggaran seratus ela kemudian, anak muda itu melahirkan satu sorakan yang paling menggetarkan.
" Minyak......," zahirnya dengan amat gembiranya... Dan dengan badan yang berlumuran minyak itu, dia berlari-lari menuju ke kota "... Minyak... aku sudah gali minyak.....," lahirnya hingga mengkagetkan orang-orang lain.
Setelah tenang, anak muda itu duduk berfikir. Terbetik dalam hatinya untuk menjejak dan mencari Ilmuan Al-Hassan itu.
" Kalaulah Tuan Hassan dapat bersabar sedetik lagi...hidupnya pasti tidak akan menjadi seburuk ini..." fikirnya. Dalam hatinya dia berjanji untuk menjejaki Ilmuan Al-Hassan dan mahu berkongsi kekayaan barunya dengan insan yang bijaksana itu.
Demikian kira-kira kisahnya, untuk malam yang ke-1006 adanya.
No comments:
Post a Comment