Sinopsis

Hikayat selepas 1001 malam adalah kesinambungan kepada Hikayat 1001 malam tetapi dalam stail penulisan gaya orang Melayu. Berbanding dengan kisah H1001M yang kisahnya bersambung-sambung, dalam HS1001M, setiap satu malam ada kisah yang berlainan. Kisah-kisah yang dipaparkan banyak mengandungi falsafah hidup, contoh bidalan dengan gubahan bahasa hikayat, untuk renungan dan fikiran kita bersama.

Friday, August 19, 2011

Malam Ke-1003 - Kisah Putera Anugerah Putera Penghukum


Al-kisah, maka diperkabarkanlah orang akan maharaja Al Tongga di negara Antah Berantah telah mangkat. Maka berkira-kiralah para menteri, untuk memilih, salah seorang dari putera kembar maharaja yang sama tangkas, sama bijak dan sama kacak untuk menggantikan ayahandanya sebagai Maharaja baru.


Puaslah mereka berfikir, berkira dan bermuafakat, ternyata, tiada sebarang keputusan diperolehi jua.


Maka akhirnya diputuskan mereka, kedua-duanya dilantik sebagai pemangku maharaja, tetapi dengan tugasan yang berbeda. Putera yang tua diberikan tugasan sebagai Pemberi Anugerah sementara Putera yang muda dengan tugasan utamanya Pemberi Hukuman.


Bagi meyakinkan kehebatan masing-masing, maka putera yang tua, sentiasa saja membuat kebaktian dengan menolong rakyat jelata di mana saja, serta memberikan pelbagai anugerah kepada mana-mana rakyat yang berbakti dan berjasa kepada negara. Tidak hairan, sekiranya Putera yang tua amat sekali disenangi, disayangi dan dikasihi oleh seluruh rakyat jelata. Pada mereka, bagindalah yang selayak-layaknya ditabalkan sebagai Maharaja di negara Antah Berantah itu.


Berbanding saudaranya, putera yang muda semakin hari semakin dibenci dan ditakuti oleh rakyat. Ke mana-mana saja baginda berada, rakyat yang dulunya, begitu kurang teratur akan menjadi begitu sopan dan begitu santun. Perlakuan jenayah, menurun dengan mendadak sekali. Mana-mana yang menderhaka atau membuat celaka, akan pasti mendapat hukuman yang tidak terperikan azabnya.


Arakian, maka suatu hari, kedua-dua anak raja itu, berkuda bersama-sama ke pasar besar. Putera Yang tua sering senang ke situ, kerana, sekiranya baginda ke sana, rakyat akan melaung-laung namanya dan seringkali akan menyanyi dan bergembira. Apatah lagi putera itu, tidak lokek menghamburkan dinar mas yang akan direbut-rebut rakyat jelata. Begitulah gamaknya.


Suasana pasar ketika itu, begitu kelam-kabut dengan suasana bising dan hiruk-pikuk. Sebaik saja kehadiran mereka dimaklumkan oleh para bentara, suasana hiruk-pikuk itu semacam terhenti jadinya. Masing-masing rakyat, menjadi terlalu tertib dan sopan santun, hingga menimbulkan fikiran kepada putera yang tua, yang menganggap rakyat jelata akan berkelaku sebaliknya apabila melihat diri baginda.


Ternyata, semalaman, putera yang tua menjadi terlalu sugul dan susah hati. Selama ini, dia merasakan dia amat disenangi oleh rakyat jelata, tetapi ternyata adindanyalah yang mempunyai pengaruh yang kuat dan dapat mengawal rakyat dan negara.


Arakian, maka pada hari esoknya, putera yang tua menemui semua para menteri dan meminta supaya peranannya sebagai putera pemberi anugerah ditukar serta-merta dengan peranan adindanya, putera pemberi hukuman. Permintaannya dipersetujui.


Maka bermula dari hari itu, putera pemberi hukuman baru menjalankan tugas-tugasnya dengan lebih cemerlang lagi dengan memberi hukuman yang lebih dahsyat dan lebih zalim dari adindanya. Pada baginda, itulah satu cara bagi baginda dapat mengawal dan menguasai rakyat dan negara.


Sementara, adindanya pula, menjalankan peranan yang dulunya dilakukan oleh kekandanya iaitu pemberi anugerah.


Arakian, maka diperkabarkan orang juga, betapa tidak berapa lama kemudian, putera tua yang kini menjadi putera pemberi hukuman, semakin hari semakin menjadi kebencian rakyat jelata. Ramai antara mereka menaruh dendam yang amat sangat kerana tingkahlaku baginda yang terlalu zalim dan menganiaya rakyat tanpa belas kasihan.


Suatu hari, tibalah di istana besar, seorang bentara pengiring Putera yang tua dari hulu negara. Lalu diperkabarkanlah sang bentara, betapa rakyat di hulu negara telah bangun memberontak dan putera yang tua akhirnya terbunuh dalam satu pertempuran berdarah.


Akhirnya, tinggallah putera yang muda seorang diri. Baginda kemudiannya terus ditabalkan sebagai maharaja yang baru. Rata-rata rakyat memuji dan menyanjunginya kerana Maharaja baru mereka ini, dulunya seorang yang amat jahat dan zalim, tetapi sekarang menjadi seorang yang amat baik hati, mulia, amat pemurah dan bersopan-santun.


Mereka juga tidak langsung berasa kesihan dengan kekanda baginda yang dibunuh rakyat itu. Menurut mereka, putera raja itu, dulunya seorang yang amat baik, mulia, pemurah dan bersopan-santun tapi sekarang telah menjadi seorang 'serigala' yang ganas, jahat dan terlalu zalim.


Demikianlah kira-kira kisahnya untuk malam yang ke-1003.

No comments:

Post a Comment