Sinopsis

Hikayat selepas 1001 malam adalah kesinambungan kepada Hikayat 1001 malam tetapi dalam stail penulisan gaya orang Melayu. Berbanding dengan kisah H1001M yang kisahnya bersambung-sambung, dalam HS1001M, setiap satu malam ada kisah yang berlainan. Kisah-kisah yang dipaparkan banyak mengandungi falsafah hidup, contoh bidalan dengan gubahan bahasa hikayat, untuk renungan dan fikiran kita bersama.

Friday, September 30, 2011

Malam ke-1011 - Profesor Dua Soalan


Arakian, setiap hari menjadilah perhatian seorang pelajar akan keletah dan perangai seorang daripada profesor di universitinya. Orangnya agak berumur tetapi dikatakan orang ramai, dia sangatlah pintar dan amat bijak dan cerdiknya.

Persoalan amat pintar, bijak dan cerdiknya itulah yang kerap menjadi perkiraan pelajar ini. Apa tidaknya. Setiap minggu, kelas profesor ini hanya dua kali untuk dirinya dan kawan-kawan kuliahnya. Dalam satu minggu, kuliahnya hanya sekadar lapan kali, termasuk untuk dua lagi kumpulan pelajar yang lainnya. Setiap wakyu kuliah hanya sekadar dua jam.

Masa-masa lainnya, profesor itu tidak berbuat apa-apa. Dia kelihatannya begitu banyak melangu dalam biliknya dan amat kuat bermenung serta kelihatan banyak membuangkan masa sahaja.

Jelas, pada fikirnya, negara begitu membazirkan wang untuk seorang profesor cerdik dan amat tidak berguna itu.

Namun, walau begitupun keadaannya, dia tidak melihat ada sebarang usaha untuk menyingkirkannya daripada jawatannya itu. Malah profesor itu, semakin hari semakin mendapat kemuliaan, kerana buah fikir dan pandangannya amat dihargai oleh kerajaan dan orang ramai. Malah, dia juga mendapat banyak anugerah dan darjah kebesaran dari pihak kerajaa, institusi dalam dan luar negara dan pihak istana.

Arakian, maka suatu hari pelajar ini, dengan rasa penuh ingin tahu, lalu mengetuk pintu bilik profesor hebat itu. Dia cuba mahu menyelidiki secara halus apakah sebenarnya tugas hakikinya dan apakah pula tugas sampingan profesor itu. Selain itu, dia juga mahu bertanya, apakah jenis kerjaya yang amat sesuai dengan dirinya yang sesi kuliahnya akan berakhir tidak lama lagi, jika menurut pandangan profesor itu.

" Masuk.." terdengar lembut suara profesor lelaki itu.

Maka pelajar itu bersegeralah masuk ke bilik profesor yang padat dengan pelbagai jenis buku dan kertas kerja yang bertaburan dan berselerakan itu.

" Ya.. apa yang saya boleh bantu?" tanya profesor itu. " Tapi cepat ya, hanya satu minit dan hanya dua soalan saja kerana saya amat sebok sekali sekarang ini," tambah profesor itu lagi.

Mendengar itu, pelajar yang sudah mengumpulkan banyak soalan untuk ditanyakan kepada profesor itu, tiba-tiba menjadi mati kutu. Dia mula berfikir apakah dua soalan untuk ditanyakan kepada profesor itu dalam tempoh satu minit.

" Soalan pertama Prof," akhirnya terluah dari mulut pelajar itu. Saya adalah seorang pelajar pengajian media. Apakah pada fikiran prof, kerjaya kewartawanan amat baik dan sesuai untuk saya?"

" Sudah pasti ia satu karier yang baik dan saya yakin orang-orang yang berkerjaya seperti anda, akan pastinya suatu hari nanti masuk syurga," pantas jawab profesor itu.

" Alasannya begitu mudah sekali. Sebagaimana dalam hidup di dunia, penghuni syurga pastinya amat memerlukan wartawan untuk melaporkan sesuatu peristiwa dari satu kawasan syurga ke kawasan syurga juga. Ia suatu jawatan atau karier yang amat penting sekali."

" Tapi, bagaimana pula di neraka? "

" Oh ya.. saya belum habis bicara. Sebenarnya, selain syurga, kerjaya ini juga amat diperlukan untuk kawasa di neraka. Sebagaimana di syurga, kerjaya wartawan amat penting untuk melaporkan sebarang peristiwa dari suatu wilayah untuk makluman wilayah neraka yang lain.. Itulah saya katakan, kerjaya wartawan adalah kerjaya amat baik untuk di dunia, di syurga dan di neraka.."

Pelajar muda itu termangu seketika untuk memikirkan butir tutur profesor itu. Dia akhirnya hanya mampu tersenyum panjang.

" Soalan kedua?" tanya profesor itu.

" Soalan kedua..? Oh ya profesor. Saya haraf profesor tidak berkecil hati jika saya bertanya. Sebenarnya, sudah agak lama saya memerhati diri profesor. Dari perhatian dan pengamatan saya, kelihatannya, profesor tidak banyak mengajar tetapi lebih banyak berkurung saja dalam bilik seperti tidak berbuat apa-apa".

" Saya sebenarnya. sedang bekerja ketika itu dan seperti juga sebelum saudara masuk ke bilik saya tadi. Itu sebabnya saya berikan saudara masa hanya dua minit, agar saudara tidak banyak mengganggu diri saya ketika saya sedang sibuk bekerja," jawab profesor itu.

" Kerja apa? Saya tak nampak apa-apapun yang prof lakukan..?"

" Saya sebenarnya sedang berfikir..Itulah kerja saya.."
" Berfikir..kerja..?"
" Ya..dalam konteks universiti, gaji saya selama ini dibayar untuk merancang dan berfikir. Saya tidak dibayar untuk bekerja sebagaimana dalam falsafah 'kerja' hakiki yang sebenarnya. Justeru, ketika saya sedang berfikir, maka itu ertinya saya sedang bekerja. Jika saya sedang mengajar, itu bererti saya sedang berihat dari bekerja."

Pelajar itu tergamam tidak tahu berkata apa-apa. Dia akhirnya meminta izin keluar dari bilik itu kerana tempoh masa satu minitnya telah berakhir.

Begitulah kira-kira kisahnya untuk malam yang ke-1011, adanya.

No comments:

Post a Comment